Jom Baca Quran

Wednesday, September 8, 2010

Terlanjur sayang


Berhari-hari aku memikirkan keputusan
ayah samada untuk menerima atau
sebaliknya. Kesihatan ayah tidak
mengizinkan aku untuk berfikir lama.

Akhirnya, persetujuan dibuat dan dalam
diam-diam aku juga turut membuat
perjanjian dengan Harriz lelaki yang
tidak pernah aku temui. Aku bencikan
Harriz kerana aku menyangka Harriz
bukanlah seperti apa yang ayah
bayangkan. Dia mungkin mempunyai
rancangan yang besar untuk merampas
kekayaan kami dengan mengahwini aku dan
berpura-pura baik di hadapan ayah dan ibu.

"Selepas kita bernikah, saya haramkan
awak untuk menyentuh saya. Kita hanya
berlakon di hadapan ayah dan ibu saya
begitu juga dengan keluarga awak.
Selepas setahun, awak ceraikan saya. Ini
dah termaktub dalam perjanjian kita."

Aku tidak berani memandang wajah Harriz
ketika kami berjumpa buat pertama
kalinya di sebuah restoran. Aku akui,
Harriz memang tampan orangnya malah
lebih kacak daripada Izham. Sedikit
sebanyak hati perempuan aku mulai cair
namun aku pantas melarikan fikiranku
pada perkara yang lain. Harriz merenung
aku tanpa berkelip mata. Aku gelabah.
Langsung tidak dibaca perjanjian MOU
yang aku letak di hadapannya. Sakit hati
aku dibuatnya ketika itu. Aku kuatkan
semangat untuk memandang Harriz dan cuba
berlagak serius.

"Tuhan kurniakan mata untuk melihat apa
yang ada di hadapan kita. Saya dah
letakkan fail perjanjian kita di hadapan
awak. Takkan awak tak tahu nak
menggunakan mata awak tu untuk melihat
apa yang patut?" Aku memerli Harriz. Dia
cuma tersenyum. Masih tidak puas menatap
wajah aku. Seluruh pelusuk wajahku
dijajahnya.

"Memang Tuhan anugerahkan mata untuk
melihat. Sekarang, saya sedang melihat
satu lagi anugerah Tuhan yang diberikan
kepada saya. Kecantikan yang tidak
pernah saya bayangkan, tapi sekarang
baru saya tahu bahawa sungguh indah alam
ini dengan adanya wanita secantik awak,
Nurul Ain Bt Hamdi…" Ungkapan pertama
keluar dari mulut Harriz.

Aku tersedak, hampir tersembur fresh
orange yang sedang kuminum. Pantas
tanganku mencari tisu di dalam beg
tangan. Harriz masih tersenyum. Merah
padam muka aku menahan malu. Bijak
sungguh Harriz bermain dengan kata-kata.
Aku hampir terpedaya dengan pujiannya.
Ahh…Lelaki, semuanya sama…

"Tapi sayang, awak tidak menggunakan
kecantikan awak itu untuk melambangkan
hati awak. Buat pengetahuan awak, saya
ini bukanlah seperti apa yang awak
bayangkan. Niat saya ikhlas untuk
memperisterikan Nurul Ain Bt Hamdi.
Jangan kerana awak kaya dan hidup mewah,
awak takut saya akan merampas semuanya
itu dari tangan keluarga awak. Terus
terang saya katakan, seandainya awak ini
adalah gadis cacat yang kudung tangannya
atau bisu mulutnya saya tetap akan
mengahwini awak walau awak miskin sekalipun.

"Bagi saya, harta boleh dicari tapi
cinta yang tulus suci hanyalah wujud
sekali dalam hidup kita dan awak adalah
wanita yang berada di dalam hati saya
sekarang sehinggalah saya tidak bernafas
lagi di atas bumi bertuah ini." Harriz
tersenyum lagi.

Aku pula tergamam. Macam mana dia boleh
mengenali aku sejauh begitu.
Kata-katanya kedengaran seolah-olah kami
pernah berjumpa. Tapi, aku rasa tidak
kerana inilah kali pertama aku melihat
wajahnya. Sungguh pelik orang ini.
Harriz membuka fail biru itu.

Tanpa dibaca walau sebaris ayat pun, dia
mengambil pen dari poket bajunya lantas
ditandatangani MOU tersebut.

"Awak tak berniat nak baca MOU itu
sebelum awak sign?" Aku memberanikan
diri untuk bertanya pada Harriz. Sekali
lagi dia memandang aku dengan pandangan
yang penuh bermakna baginya.
"Kalau saya baca, adakah niat awak itu
akan berubah untuk menerima saya
bagaimana ikhlasnya saya menerima awak?"
Terperangkap lagi aku dengan kata-katanya.

Entah kenapa di mana hilangnya marah aku
dan semangat aku ketika itu. Lelaki ini
benar-benar lain. Tidakkk!!…..Aku bukan
mudah untuk menerima dia. Cinta aku pada
Izham masih kuat. Harriz bangun. Air
minuman yang dipesan tidak disentuh,
masih suci sepertimana aku.

"Assalamualaikum…." Itulah kata-kata
terakhir yang diucapkannya sebelum
meninggalkan restoran itu. Aku
terpinga-pinga. Pelik dan aneh lelaki ini.

Sebelum aku berjumpa dengan Harriz,
terlalu banyak kemusykilan tentangnya
yang berlegar-legar di dalam fikiran
aku. Kini pada pertemuan pertama kami,
semakin bertambah kusut fikiran aku
memikirkan tentang Harriz.

Siapakah dia sebenarnya? Apakah yang dia
mahu daripada aku? Atau adakah dia
memang benar-benar tulus mencintai aku.
Ahhhhh….makin difikir, makin pening aku
dibuatnya.


Kini, telah hampir seminggu aku menjadi
isteri kepada seorang lelaki yang tidak
aku cintai. Majlis perkahwinan yang
diadakan amat meriah tetapi aku tidak
merasai keseronokan itu. Mungkin Harriz
juga begitu. Perhubungan aku dan Harriz
memang terbatas. Itu adalah syarat aku
sendiri sebelum Harriz melafazkan akad
nikah.

Kami hanya berpura-pura mesra di hadapan
ibu dan ayah tetapi di sebalik tabir
kehidupan kami, tidak wujud kemesraan
tersebut. Harriz benar-benar memberi
kerjasama yang baik. Kadangkala simpati
aku menjengah di hati kecilku. Pernah
aku menasihati dia supaya melepaskan aku
sebelum tamat kontrak perkahwinan kami
tapi Harriz bukanlah lelaki yang senang
dipujuk rayu.

"Saya seorang yang menepati janji. Walau
hati ini berat untuk berpisah dengan
awak, saya tetap akan patuhi syarat awak
bahawa kita hanya bercerai selepas tamat
tempoh kontrak. Awak sendiri tahu
bagaimana perasaan saya pada awak. Tidak
munasabah andai saya menceraikan awak
sekarang. Kalau boleh, saya mahu takdir
membuka pintu hati awak untuk menerima
cinta saya dan menyayangi saya
sebagaimana tulus dan sucinya cinta saya
terhadap awak."

Tiba-tiba Harriz memegang tangan kananku
ketika aku sedang mengikat rambut lantas
diciumnya perlahan seolah-olah aku ini
bagaikan puteri yang sedang berhadapan
dengan rakyat biasa. Berderau darahku
ketika itu. Aku menjarakkan diri. Bulat
mataku memandangnya. Tanpa segan
renungan Harriz semakin tajam memandang
ke arah aku. Aku gementar. Rasa marah
dan geram wujud dalam diri ini. Harriz
cuba untuk memperdayakan aku dengan
kata-kata manisnya.

"Tolong jangan bersikap kurang ajar!
Sudah cukup selama ini saya bertahan
dengan sikap dan perangai awak!! Awak
jangan umpan saya dengan kata-kata manis
awak tu. Saya tak akan terpengaruh.
Kontrak tetap kontrak. Biarpun setahun
atau dua tahun atau selama-lamanya, saya
tidak akan mencintai awak atau belajar
untuk menyintai awak!!

"Cinta saya hanyalah untuk Izham. Awak
tahu bukan? Izham lebih dahulu hadir
dalam hidup saya tapi awak merosakkan
segala-galanya dengan memperalatkan ayah
dan ibu saya. Saya bukan macam mereka.
Itu sahaja yang awak perlu tahu!!"
Bentakku tiba-tiba dengan penuh berani.

Aku sendiri terkejut dengan tindakan
aku. Dari mana aku dapat kekuatan untuk
melawan perasaan aku? Aku memaling ke
arah lain. Terasa semangat untuk
mempertahankan diri wujud dalam diri
ini. Mungkin kerana rindu aku pada Izham
semakin kuat dan kesalahan aku pada
Izham juga berat.

Harriz hanya diam. Sedikit sebanyak
nampak juga perbezaan di raut wajahnya
yang mungkin terkejut dengan kata-kata
amarahku yang tiba-tiba.

"Maafkan saya kerana buat awak marah.
Saya tak ada niat untuk menyakitkan hati
awak, Nurul Ain. Saya harap kita masih
boleh jadi kawan," ringkas sahaja
kata-kata Harriz kali ini. Aku masih
tidak memandang wajah Harriz.

"Nampaknya dah masuk waktu solat Isyak
sekarang. Mari, kita berjemaah," pelawa
Harriz lembut. Aku memandang wajahnya.

Dia tersenyum, "saya tunggu di bilik."
Harriz berlalu pergi meninggalkan aku di
ruang tamu. Perasaan marahku sudah reda.
Malu pun ada bila mengenangkan kembali
kemarahan aku yang berapi-api itu.
Nampaknya Harriz masih boleh buat muka
selamba sedangkan sudah berbakul-bakul
aku memarahinya sepanjang dia duduk di
rumahku.

Tidak tahu bagaimana lagi untuk aku
mewujudkan rasa benci dalam diri Harriz
supaya dia membenci aku. Kini,
perkahwinan kami sudah hampir 3 bulan.
Ayah dan ibu pula sudah bertanya tentang
keadaan kesihatan aku. Itu tidak lain
dan tidak bukan mesti berkaitan dengan
hal anak.

Bagaimana aku nak memberitahu mereka
bahawa aku ini masih suci lagi. Harriz
tidak pernah menyentuh aku walaupun dia
berpeluang. Dia benar-benar mengikut
segala kontrak yang ditulis oleh aku itu
supaya tidak menjalinkan apa sahaja
hubungan dengan aku. Aku bertambah
bingung. Segala apa yang aku lakukan
semuanya tidak menjadi. Harriz masih
lagi menyayangi dan menyintai aku.

Aku dah tak tahu nak buat apa. Aku
rindukan Izham di saat-saat begini. Aku
kesunyian. Tanpa Izham aku rasa
kehilangan. Kadangkala aku nampak
bayangan Izham dalam diri Hariz. Sampai
bila aku mampu bertahan. Harriz terlalu
baik terhadap aku. Hanya perempuan gila
sahaja seperti aku yang tidak jatuh
cinta padanya setelah pelbagai cara dia
lakukan untuk menambat hati aku. Aku
juga manusia biasa. Cinta akan datang
dan pergi sesuka hati dalam hidup ini.
Apakah perasaan aku terhadap Harriz
sekarang? Aku semakin bingung dengan
kehidupan yang aku lalui kini.

Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi. Aku
tiba lewat di rumah. Tapi, bukan kerana
banyak kerja di pejabat cuma aku sengaja
pulang lambat supaya Harriz menyangka
aku perempuan yang selalu balik lewat
malam kerana puas berseronok di luar.
Terjengket-jengket kaki aku melangkah
masuk. Suasana gelap menyelubungi rumah
banglo dua tingkat pemberian hadiah ayah
sempena perkahwinan kami. Mujurlah hanya
aku dan Harriz yang tinggal di sini.

Kalau tidak, tentu aktiviti kami akan
terbongkar lebih awal. Minta-minta
Harriz akan memarahi aku kerana pulang
lewat. Aku berjalan perlahan-lahan
menuju ke tangga tapi aku telah
terlanggar sesuatu yang besar di hadapan.

Hampir terjatuh aku dibuatnya namun,
mujur da seseorang yang sempat memaut
pinggangku supaya tidak terjatuh.
Berderau darah dibuatnya. Lampu ruang
tamu dipasang…

Aku tergamam. Pinggangku masih lagi
dipaut oleh Harriz. Mata bertentang
mata. Hampir beberapa saat aku tidak
bercakap. Tersedar dari lamunan, aku
pantas menolak Harriz ke tepi. Wajahku
mula berubah. Merah padam jadinya. Marah
bercampur malu benar-benar ada dalam
diri aku sekarang

"Awak ni kenapa?!! Macam pencuri!! Nasib
baik saya ni tak ada sakit jantung. Dah
pukul 2.00 pagi. Awak tak reti-reti nak
tidur?" Aku memarahi Harriz.

"Saya tunggu awak…."

"Tak payah nak tunggu-tunggu. Saya ni
bukannya budak kecik lagi. Saya tahu
pukul berapa saya nak balik. Awak ni
orang gaji saya ke?"
"Awak dah makan? Hari ni saya masak lauk
kegemaran awak, masak lemak cili api
ikan keli. Awak mesti suka. Mari makan
sama, saya tak makan lagi ni."

Harriz mempelawa aku. Masak lemak cili
api ikan keli? Terliur aku dibuatnya.
Aku memang tengah lapar gila ni.
Maklumlah, satu hari aku tak makan apa.
Tengah hari tadi tak keluarpun sebab
kerja banyak.

Petang pula ada mesyuarat. Bila dah
habis kerja, aku pulak yang sengaja
balik lewat hanya semata-mata nak nak
sakitkan hati Harriz. Sampai pukul 1.30
pagi aku duduk di pejabat. Tak terfikir
nak makan pun. Sekarang, dah lapar.
Bodoh betul aku. Takkanlah aku setuju
nak makan dengan dia. Habislah rancangan
aku nak bagi dia marah.

"Awak ni pandai masak ke? Saya ni
memilih orangnye. Takpelah saya dah
kenyang. Dah makan kat luar pun. Awak
nak makan, awak makanlah sorang."

Aku pura-pura menguap di hadapannya
"Ahh.. ngantuknya.."

"Saya tahu awak belum makan lagi. Awak
tentu lapar." Harriz terus menuju ke
ruang makan. Dia membuka tudung saji dan
menyendukkan nasi untuk aku dan dirinya
sendiri. Beria-ia benar dia mengajak
aku. Macamana dia tahu aku tak makan?
Aku masih lagi tercegat di antara ruang
tamu dan ruang makan.

Sesekali aku menjeling ke arah Harriz
yang sedang leka menyiapkan makan malam
yang rasanya dah boleh jadi makan pagi.
Sanggup dia tak makan kerana menunggu
aku semalaman. Boleh percaya ke lelaki
ni? Jangan-jangan dah siap makan. Saja
nak tarik perhatian aku supaya simpati
kat dia.

Aku pantas menaiki tangga meninggalkan
Harriz.

"Awak tak nak makan? Tak sakit perut ke,
awak? Nanti, kalau awak jatuh sakitkan
susah…" Harriz menasihati aku. Langkahku
terhenti.

"Awak tak faham bahasa Melayu? Kan saya
dah cakap, saya dah kenyang. Kalau awak
nak makan, awak makanlah sorang. Saya
nak naik atas, nak mandi dan tidur. Awak
jangan ganggu saya!!" aku bentak keras.

"Tak pelah, saya makan dulu. Nanti,
kalau awak rasa lapar, awak makanlah ye.
Pergilah awak berehat," Harriz
mengakhiri perbualan kami. Aku terus
naik ke atas dengan perut yang
benar-benar lapar. Rasa nak terbalik
dunia ni. Ya Allah laparnya. Hanya Tuhan
saja yang tahu. Kenapalah aku boleh
bertindak bodoh. Dah ada orang siap
masak, aku saja yang sombong tak
bertempat. Sekarang, siapa yang merana?
Bukankah aku…?

Itu baru satu keadaan di mana dia boleh
bertahan dengan sikap aku. Tapi, kali
ini aku pula yang tak tahan dengan
keadaan kami apabila terpaksa berlakon
di depan ayah dan ibu sewaktu kedatangan
mereka ke rumah kami.

Dari berdiri jarak 50 meter kini dah
rapat macam belangkas. Dari muka yang
masam macam cuka kini aku terpaksa
senyum meleret. Aku kena memainkan
peranan sebagai isteri dan Harriz
sebagai suami sedangkan gelaran itu
memang ada pada kami. Terasa kaku aku
pada permulaan watak tetapi Harriz bijak
memainkan peranannya sebagi suami.

"Berapa lama mak dan ayah nak tinggal di
sini?" Aku mengajukan soalan sebaik
sahaja ibu dan ayah duduk di ruang tamu
selepas kami menjamu selera tengah hari
itu. Percaya atau tidak, semua masakan
dimasak oleh Harriz tapi dia memberitahu
ibu dan ayah yang aku memasaknya. Ibu
tersenyum menggeleng.

"Ain…Ain… Mak dan ayah belum panas
punggung lagi dah ditanya bila nak
balik. Mak ni, rindukan anak mak.
Salahke mak melawat anak mak yang kini
dah jadi isteri orang," balas ibu. Aku
tertunduk malu. Ye tak ye jugak..

"Ain ni bukannya apa mak. Dia takut mak
dan ayah balik awal. Duduklah 2-3 hari
kat sini, mak. Lama-lama pun tak apa.
Kami pun berdua. Kalau ada mak dengan
ayah, taklah sunyi kami ni.." Harriz
menyampuk. Aku menjeling pada Harriz.
Nampaknya, dia ni nak mengambil
kesempatan. Ketika itu tangan kirinya
sengaja memeluk pinggangku. Aduh, geli
betul. Aku tak boleh nak tolak.

"Yelahh, mak. Duduklah lama-lama kat
sini. Mak pun tentu bosan duduk kat
rumah, lagipun ayah kerja." Aku terpaksa
menipu. Kalau boleh nak saja aku
menyuruh mak dan ayah balik sekarang
juga. Bukannya aku tak sukakan mereka
tapi aku tak mahu berlakon lagi.

"Tak bolehlah macam tu. Kamu dah
berkeluarga. Mak dan ayah tak nak ganggu
kamu. Kami ni datang saja nak melepas
rindu. Dua hari lagi kami baliklah."

Alamak 2 hari lagi??? Terasa seperti 2
tahun nak menunggu mereka balik.

Aku lihat Harriz tersenyum meleret.
Makin erat dia memeluk pinggangku. Suhu
di kepala aku ni dah mendidih. Rasanya
nak saja aku cekik-cekik Harriz
sekarang. Betul-betul mengambil
kesempatan. Aku pantas bangun. Semua
mata memandang ke arah aku.

"Tak pelah, mak ayah. Ain ada hal
sekarang ni. Pukul 2 petang Ain ada
mesyuarat dengan pelanggan. Nanti malam
baru Ain balik. Mak dan ayah tak payah
tunggu Ain. Tak tahu pukul berapa Ain
balik."

"Hari ni kan Ahad, Ain. Takkan bekerja
jugak. Kesian kat Harriz ni. Sepatutnya,
masa cuti jangan diganggu. Kamu tu dah
kahwin, dah bersuami. Kamu kena jaga
makan pakai si Harriz ni. Kesian
Harriz." Berbakul-bakul ibu membela
Harriz. Eeeee….bertambah-tambah geram
aku. Ayah hanya tersenyum. Tak banyak
cakap. Malas nak masuk campurlah tu.
Pendek kata, apa saja yang ibu cakap
ayah akan setuju. Betullah mereka ni
satu kepala.

Berbeza aku dan Harriz, ibarat panggang
jauh dari api.

"Ain memang ada hal petang ni, mak. Tak
boleh nak tolak. Pelanggan Ain tu dari
Jepun. Dia tak boleh lama kat sini." Aku
membalas kata-kata ibu dengan harapan
Harriz akan membantu aku.

"Takpe, mak. Saya tak kisah, lagipun
selama ni tak pernah kurang kasih sayang
Ain pada saya. Lagipun saya kenal
pelanggan Jepun tu. Dia kawan lama saya
masa kursus kat Tokyo dulu." Harriz
menyokong aku.

Lega rasanya di hati. Aku memandang
Harriz. Dia hanya tersenyum. Tiba-tiba
saja dihulurkan tangannya supaya aku
mencium tangannya. Mahu tak mahu
terpaksalah aku bersalam dan mencium
tangan Harriz.

"Saya pergi dulu, bang.." Lembut aku
bersuara meminta izin. Mak dan ayah
tersenyum-senyum memandang gelagat kami
berdua. Rasa senang di hati mereka
melihatkan kemesraan aku dan Harriz yang
sebenarnya dibuat-buat.


Aku terlalu rindukan Izham. Kenapa Izham
tiba-tiba sahaja menghilangkan diri.
Sudah lama dia tak menghubungi aku.
Hampir 3 bulan aku tak mendengar
suaranya. Izham masih lagi di London.
Dahulu, di awal usia perkahwinan kami
Izham sering menelefon aku. Suaranya
benar-benar memberi aku semangat. Izham
tahu mengenai masalah aku dan Harriz.

Dia juga tahu rancangan aku mengenai
'perkahwinan kontrak' ini. Izham
langsung tidak memarahi aku. Dia tahu
bahawa aku menerima Harriz bukan atas
dasar cinta tapi atas dasar hormat aku
pada ayah. Dia jugalah yang menyokong
aku dan katanya lagi bahawa dia sanggup
menunggu aku bukan saja setahun malah
selama hayatnya masih hidup dia sanggup
menanti aku. Aku dapat rasakan ketika
itu akulah wanita yang paling bertuah
kerana dapat memiliki cinta Izham yang
betul-betul ikhlas menyayangi aku.

Namun suara Izham hanya dapat aku dengar
3 bulan yang lalu. Di mana Izham
sekarang? Mungkinkah dia terlalu bosan
menunggu dan terus menunggu kehadiran
aku dalam hidupnya? Ahh... kalau aku
jadi Izham pun sudah pasti perkara yang
sama akan aku lakukan. Satu tahun
bukannya tempoh yang singkat. Sedangkan
hati boleh berubah inikan pula
penantiannya yang boleh dianggap satu
angan-angan yang tak pasti.

Ini semuanya berpunca daripada Harriz.
Kadangkala aku terlalu bencikan Harriz
tetapi kehadiran Harriz jugalah sedikit
sebanyak telah mengubah hidup aku. Tidak
dapatku sangkal bahawa dia seorang suami
yang baik, dan benar-benar mengambil
berat tentang diri ini. Aku sahaja yang
tidak pernah menghargai kehadirannya
dalam hidup aku. Tiada lelaki lain
selain Harriz yang tulus ikhlas
menyayangi, menyintai, dan menghormati
aku. Bila difikir-fikirkan, aku rasa
bertuah kerana punya seorang suami yang
terlalu memahami aku.

Memanjakan aku seolah-olah aku ini budak
kecil yang perlu didodoi. Aku sakit dia
menjadi doktorku, aku lapar dia menjadi
tukang masakku malah bila aku terlambat
ke pejabat dia sanggup menghantarku
sedangkan ketika itu dia punya urusan
lain. Tapi, kenapa mesti Harriz? Bukan
Izham?

Tiba-tiba saja hati aku terdetik,
mungkinkah jodohku memang bersama
Harriz. Sisa-sisa hayatku adalah hidup
bersama Hariz sehingga aku mati. Di mana
Izham sekarang? Kenapa dia menghilangkan
diri? Sudah tiada lagi cintakah di dalam
hatinya untukku? Atau aku sahaja yang
mengangankan sesuatu yang bukan milikku.
Sedangkan sesuatu yang sudah tentu
menjadi milikku aku abaikan begitu saja.
Antara Harriz dan Izham?? Siapa yang
harus aku pilih? Ooohhh…Terlalu sukar
hidup ini.

"Masih panas lagi suhu badan awak ni.
Saya bawa awak ke klinik.." Aku ingat
lagi peristiwa pertama yang mencetuskan
rasa sayang aku pada Harriz dan wujudnya
rasa cinta dan kasih di hati ini pada
Harriz. Ketika itu aku demam panas.
Memang aku tak mampu nak berbuat apa-apa
kerja ketika itu.

Nak bangun dari katil pun tak terdaya.
Mungkin waktu itu aku terlalu rindukan
Izham dan dalam masa yang sama aku juga
sibuk dengan kerja-kerjaku di pejabat.

"Tak pe, saya sihat. Panas sikit je.
Lepas makan Panadol, sihatlah. Awak tak
payah nak risaukan saya. Saya tahu apa
yang saya buat. Awak buatlah kerja awak.
Jangan ganggu saya, boleh tak?" Aku
meninggikan suara.

Tapi bukannya aku marahkan Harriz, cuma
aku tak tahan dengan kesakitan di kepala
yang aku alami. Harriz masih tak
berganjak. Dia meletakkan tangannya di
dahiku. Aku menepis dengan kuat tangan
Harriz. Berkerut-kerut dahiku menahan
sakit. Aku cuba bangun tapi tak mampu.
Dengan pantas tanpa pedulikan
kemarahanku, Harriz terus mendukungku
keluar dari bilik. Aku benar-benar
terkejut dengan tindakannya. Habis tubuh
Harriz menjadi sasaran aku untuk memukul.

"Awak nak bawak saya ke mana ni ?
Lepaskan saya!!" Aku cuba menjerit tapi
badan aku terlalu lemah dan tak mampu
untuk aku meninggikan suara.

"Awak sakit di hadapan mata saya. Takkan
saya nak jadi orang bodoh untuk dengar
kata-kata awak supaya tinggalkan awak
dalam keadaan macam ini. Saya nak bawak
awak ke klinik. Nyawa awak lebih penting
sekarang."

Harriz….Sungguh mulia hatimu. Aku buta
untuk menilai kasih sayangmu yang
mencurah-curah mencintai diri ini
sedangkan aku terus bodoh menanti pada
orang yang tak pasti.

Sedikit demi sedikit hati wanitaku mulai
cair. Sepanjang aku terlantar sakit
Harriz menjaga aku siang dan malam. Dia
sanggup mengambil cuti semata-mata untuk
menemani aku. Segala makan dan pakai
semuanya Harriz yang lakukan untuk aku,
biarpun pada mulanya aku malu dengan
tindakan Harriz.

Entah mengapa, perasaan benci dan marah
dalam diri ini pada Harriz berubah
menjadi kasih dan sayang pada Harriz.
Aku benar-benar terharu dengan
keikhlasannya selama ini dan aku juga
bangga dengan ketabahan Harriz yang
sanggup hidup bersama aku susah dan
senang. Dia tidak pernah kisah dengan
caci makiku dan kutukan aku pada dirinya
selama ini.

Kesabarannya terhadap kedegilan aku
membuatkan aku mula jatuh cinta pada
Harriz. Tetapi keegoan aku mengatasi
segalanya. Aku malu untuk meminta maaf
pada Harriz walaupun selama ini aku yang
banyak melakukan kesilapan.

Aku tahu, aku seorang isteri tapi aku
tak pernah menjalankan kewajipanku. Aku
gagal menjadi isteri yang sempurna pada
Harriz.

Dua minggu lagi akan tamatlah ikatan
kontrak perkahwinan kami. Sepatutnya aku
boleh gembira sekarang kerana tidak lama
lagi Harriz akan melafazkan kata-kata
keramat bagi seorang isteri. Namun,
kegembiraan itu tidak dapat aku rasakan
sekarang. Buat pertama kali dalam hidup
aku, aku dapat melupakan ingatan aku
pada Izham. Kerinduan pada Izam sudah
tiada lagi.

Yang terbayang di dalam fikiran aku
sekarang hanyalah Harriz Bin Hisham,
seorang suami yang terlalu agung
darjatnya dalam hati aku. Aku
benar-benar takut untuk berpisah dengan
Harriz. Selepas ini Harriz bukanlah lagi
peneman setia aku. Aku dapat rasakan
bahawa hidupku selepas ini akan sunyi.
Tiada lagi senyuman Harriz dan gurauan
Harriz. Ooohh..TuHAN!! Apa yang telah
aku lakukan sekarang?

"Selagi awak di hadapan mata saya dan
awak hidup bersama saya, selagi itulah
kewajipan saya sebagai suami akan saya
lakukan. Biarpun dalam kontrak tidak
tertulis, namun sudah menjadi
tanggungjawab seorang suami supaya
menjaga isterinya samada dalam keadaan
susah mahupun senang. 2 minggu lagi,
hubungan kita akan tamat. Tapi,
percayalah biarpun sehari malah sesaat
pun, awak tetap di hati saya. Saya tahu
kebencian awak pada saya tidak akan
hilang. Begitu juga dengan cinta saya.
Ianya tidak akan pernah pudar. Andai
diberi peluang sekali lagi, saya mahu
teruskan hidup ini bersama awak Nurul
Ain. Nama awak sudah terpahat di dalam
hati saya."

Harriz mengusap rambutku dengan kain
basahan sewaktu memandikan aku yang
terlantar sakit. Tiba-tiba satu ciuman
diberikan di dahiku. Terasa ingin
mengalir air mata ini, namun aku dapat
bertahan. Mataku ketika itu masih
tertutup. Mungkin Harriz menyangkakan
aku sedang tidur tetapi tidak
sebenarnya. Segala kata-kata luahan hati
Harriz dapat aku dengar cuma aku tidak
berani untuk menatap wajah Harriz ketika
itu.

Harriz, kenapa kau terlalu baik pada
diri ini yang seharusnya tidak layak
untuk berada di hatimu yang suci itu.
Aku tidak mampu untuk menyintai seperti
mana engkau menyintai aku. Andai engkau
dapat mendengar luahan hati ini,
berjuta-juta kemaafan ku pohon darimu
tapi untuk meluahkannya hati aku amat
berat. Aku malu sebenarnya Hariz. Terasa
kecil diri ini di hadapan matamu Harriz.

"Kenapa awak menerima saya untuk menjadi
isteri awak sedangkan sebelum ini kita
tidak pernah berjumpa. Awak tak pernah
mengenali saya, tapi awak sanggup
berkahwin dengan saya. Bukankah itu satu
tindakan yang bodoh namanya?" Aku
memberanikan diri untuk bertanya pada
Harriz sewaktu kami menjamu selera di
sebuah restoran selepas balik dari
berjumpa dengan ibu dan ayah. Harriz
tersenyum. Dia memandang aku. Aku jadi
kaget.

"Soalan itu rasanya sudah saya jawab
sebelum kita menjadi suami isteri lagi.
Nama awak sebenarnya sudah lama terpahat
di dalam hati saya. Hampir dua tahun
saya mengenali awak sebelum saya
berjumpa dengan awak." Harriz sengaja
menoktahkan ayatnya di situ supaya aku
semakin keliru. Kali ini aku yang
memandang wajahnya dengan seribu
pertanyaan di kepala.

"Dunia ini tidaklah sebesar mana. Tuhan
mentakdirkan hidup saya supaya bertemu
dengan awak bukan di bumi Malaysia. Saya
juga pernah belajar di luar negara dan
sama universiti dengan awak." Aku ternganga.

Ligat otakku mengingati semula
wajah-wajah pelajar Malaysia yang pernah
aku jumpa di London. Rasanya tiada
langsung wajah Harriz yang pernah aku
jumpa. Betulke dia ni atau sengaja nak
memainkan aku?

"Setahu saya pelajar Malaysia tidaklah
sebanyak mana pun, tapi kenapa saya tak
pernah berjumpa dengan awak? Awak jangan
nak bergurau dengan saya." Aku seakan
tidak percaya. Benarkah apa yang Harriz
cakapkan sebentar tadi?

"Saya belajar part time. Awak memang
tidak akan perasan saya. Saya belajar
waktu malam, tapi awak dan Izham selalu
datang makan di restoran tempat saya
bekerja. Ingat tak Café Bistroze? Saya
jadi pelayan bar di situ. Maklumlah,
saya ni orang miskin, tak mampu nak
belajar sepenuh masa.

Siang saya bekerja dan malam saya
belajar. Ketika itulah saya sempat
mengenali awak." Harriz menamatkan
ayatnya di situ. Dia menghabiskan
minuman. Aku terdiam. Sungguh tak ku
sangka, dunia ini terlalu kecil. Tuhan
menemukan aku dan Harriz tanpa aku
mengenali siapa dirinya. Harriz terlalu
pandai menyimpan rahsia.

"Esok, genap setahun kita menjadi suami
isteri yang sah seperti mana termaktub
dalam kontrak yang telah saya
tandatangani. Biarpun hati ini berat
untuk melepaskan awak tapi saya tidak
pernah lupa dengan janji saya.

"Melukakan hati dan perasaan awak adalah
satu dosa paling besar di mana saya
tidak dapat memaafkan diri saya sendiri.
Awak terlalu suci di mata saya. Awak tak
pernah bersalah dengan saya. Saya yang
seringkali melukakan hati awak selama
ini. Saya benar-benar berharap agar awak
dapat ampunkan dosa-dosa saya." Harriz
tertunduk menahan sebak di dada.

"Terus terang saya katakan, esok adalah
hari yang paling saya takutkan. Saya
dapat rasakan bahawa esok akan
mengubahkan segala takdir hidup saya
yang selama ini saya rasakan indah.
Hidup bersama awak adalah satu kenangan
yang paling manis buat saya. Segalanya
berubah bila awak hadir dalam diri saya.
Awak adalah semangat saya untuk saya
teruskan hidup ini yang kian singkat…."

Aku rasa hairan dengan kata-kata
terakhir Harriz. Apa yang dia cuba
maksudkan? Hariz yang berada di hadapan
aku sekarang bukanlah Harriz yang selama
ini aku kenal. Aku dapat lihat perubahan
di wajahnya. Lain benar seakan menyimpan
satu rahsia yang tidak aku ketahui. Aku
juga dapat lihat air mata lelakinya
hampir mengalir tapi mampu ditahan.

"Awak tak pernah bersalah dengan saya.
Saya yang sepatutnya memohon ampun dan
maaf dari awak kerana dosa saya sebagai
isteri adalah terlalu besar. Saya kagum
dengan awak kerana menghormati saya dan
keputusan saya selama ini. Awak seorang
lelaki yang terlalu baik dan saya tidak
layak untuk berada di hati awak. Saya
percaya, selain saya akan ada seorang
wanita lain yang akan muncul dalam hidup
awak dan benar-benar menerima cinta awak
dan menyayangi awak lebih dari
segala-galanya di dunia ini."

Aku juga menahan sebak. Tidak mahu air
mata ini mengalir di hadapannya.
Percayalah Harriz, sesungguhnya hati ini
telah lama engkau miliki tapi aku tak
mampu untuk berterus terang. Aku
perlukan masa. Tidak tahu berapa lama lagi.

Aku sebenarnya terlalu malu untuk
berhadapan dengan dirimu yang tulus
ikhlas mencintai aku. Aku tahu, aku
bodoh selama ini kerana tidak nampak
sebutir permata yang boleh menerangi
sepanjang hidupku. Harriz hanya mampu
tersenyum. Dia memegang tanganku lantas
ciuman kasihnya diberikan. Aku dapat
rasakan mungkin itu adalah ciumannya
yang terakhir sebelum kami berpisah.


"Selepas ini, saya harap awak tidak akan
hilangkan ingatan awak pada saya.
Biarpun diri saya ini hanyalah sebesar
zarah di hadapan mata hati awak, namun
awak jangan lupakan saya. Kalau boleh,
biarlah berkekalan sampai ke akhir hayat
awak. Setahun adalah satu tempoh yang
singkat untuk saya lebih mengenali awak.

"Kalau Tuhan mentakdirkan umur saya
panjang ingin rasanya sekali lagi saya
harungi hidup ini bersama awak di dalam
satu keadaan yang berbeza di mana awak
benar-benar mencintai saya dan
menyayangi saya sepenuh jiwa dan hati
awak. Andai terjadi, saya dapat rasakan
bahawa sayalah manusia yang paling
bertuah dapat memiliki awak." Kami
bertentangan mata buat kali terakhir.
Aku jadi sayu apabila memandang
wajahnya. Takdir kami akan berubah esok.
Mungkinkah ianya terjadi….

Malam itu aku tidur di dalam seribu
ketakutan. Esok pasti akan terjadi,
begitu juga dengan lafaz kontrak akan
termaktub. Ahhh..undang-undang yang
dibuat manusia. Sentiasa menyusahkan.
Takdir hidup aku esok akan ditentukan.
Aku tahu bukan sahaja aku, malah Harriz
lebih merasai ketakutannya. Dia terlalu
mencintai aku. Malah kerana cintanya itu
akhirnya memakan dirinya sendiri. Dia
menghormati segala keputusan aku kerana
ikhlasnya cinta Harriz pada diri ini.

Keesokan harinya aku terlewat bangun.
Tergopoh gapah aku keluar dari bilik.
Aku dapat rasakan sesuatu…Harriz tiada
di dalam biliknya. Begitu juga dengan
kereta Harriz, tiada di luar. Aku
terduduk di ruang tamu.

Terlalu cepat Harriz meninggalkan
cintanya. Tidak sempat untuk dia berkata
sesuatu pada aku buat kali yang
terakhir. Mungkin Harriz tidak mampu
untuk berhadapan dengan aku.

Kontrak perkahwinan terletak kemas di
atas meja. Aku dapat lihat sepucuk
sampul surat berwarna biru di atas
kontrak tersebut. Hati aku
berdebar-debar. Semakin lama getaran di
dadaku semakin terasa. Tanganku menjadi
sejuk. Menggigil-gigil jari jemari ini
untuk menyentuh surat tersebut. Lama aku
perhatikan surat Harriz. Aku tak sanggup
nak buka kerana aku tahu segala
keputusan semuanya berada di dalam
baris-baris ayat surat tersebut. Aku
takut, namun, aku pasrah. Ia kehendak
Tuhan dan hati aku sendiri. Aku harus
menerima segala keputusan dengan tenang.

Lagipun selama ini itulah yang aku minta
pada Harriz biarpun Harriz berat untuk
melakukannya. Dengan lafaz Bismillah aku
membuka lembaran surat tersebut dan
akhirnya….

"Bahawasanya saya HARRIZ BIN HASHIM
dengan ini menceraikan NURUL AIN BT
HAMDI dengan talak satu. Segalanya
adalah mengikut kontrak perkahwinan yang
telah kami tandatangani iaitu bertarikh
30 DISEMBER 2002"

-HARRIZ BIN HASHIM-

Dia benar-benar melakukannya…Pertama
kali air mataku mengalir. Aku kini bukan
milik Harriz lagi. Tahniah untuk diriku
sendiri kerana permainkan undang-undang
Tuhan dan natijahnya aku yang terima
sekarang.

Ooohh..Harriz. Kenapa kau berlalu pergi
begitu saja. Tiada langsung ucapan
selamat tinggal yang keluar dari
mulutmu. Kenapa hatimu terlalu lembut?

Kenapa kau tidak memujuk aku supaya
jangan berpisah ? Andai ianya berlaku
sudah pasti aku tak mahu engkau
meninggalkan aku. Aku mula menyayangi
dirimu Harriz.. Benih-benih cinta dan
kasih dalam diri ini pada Harriz sudah
bercambah tapi aku tak mampu untuk
tunaskannya…

Hampir 2 bulan selepas perceraian kami
aku tidak pernah bertemu dengan Harriz.
Dia menghilangkan diri begitu sahaja.
Aku tidak tahu ke mana Harriz membawa
diri. Sudah puas aku mencari tapi Harriz
tidak juga aku temui. Aku sudah bernekad
bahawa aku mesti mencari Harriz.

Aku ingin mengikat semula tali
perhubungan kami yang terputus. Aku
telah bersumpah bahawa tiada lelaki lain
selain Harriz yang boleh menjadi
suamiku. Aku ingin bina semula istana
cinta kami yang telah aku runtuhkan
dahulu disebabkan kebodohan aku.

Tapi, di mana aku nak mencari Harriz?
Sudah merata tempat aku pergi. Telah
pelbagai cara aku lakukan namun gagal.
Adakah sengaja Harriz tidak mahu
berjumpa dengan aku? Terlalu besarkah
dosa aku padanya?

Ibu dan ayah sudah tahu mengenai
perceraian aku dan Hariz. Mereka
benar-benar terkejut dengan tindakan
kami pada mulanya. Ayah marahkan aku,
begitu juga ibu. Aku tahu aku yang
bersalah. Namun marah mereka tidak lama
kerana mereka tahu takdir sudah tertulis
bahawa aku dan Harriz tidak boleh kekal
bersama cuma mereka kesal dengan sikap
dan perangai aku yang tidak pernah
berubah. Aku terlalu degil dan sukar
untuk dibentuk. Tapi itu dulu, sebelum
kehadiran Harriz. Sekarang, aku bukan
seperti aku yang dulu.

Harriz telah mengubah pendirian aku.
Dialah punca segala-galanya. Dia jugalah
yang telah membuka pintu hati ini untuk
mengenal apa itu erti cinta, kasih,
sayang dan rindu.

Aku terlalu rindukan kehadiran Harriz di
sisi. Cinta, kasih dan sayang pada
Harriz semakin hari semakin bertambah.
Nama Izham terus hilang dari ingatan
aku. Dia bukanlah lelaki yang boleh
dipercayai. Segala kegiatan jahatnya
terbongkar apabila satu hari aku terbaca
diari Harriz yang tertinggal di rumahku
selepas Harriz menghilangkan diri pada
pagi yang keramat itu.

Setiap detik dan hari sudah pasti ada
kisah aku dan Izham di London tertulis
di dalam diarinya. Dari situlah aku
tahu, Izham bukanlah seorang lelaki yang
jujur. Dia banyak memainkan perasaan
wanita seperti aku. Sampai sekarang
Harriz tidak tahu bahawa aku telah
membaca diarinya.

Segala isi hatinya dan perasaannya pada
aku ditulis dalam diari itu. Barulah aku
tahu memang Harriz lebih mengenali aku
daripada aku mengenali diriku sendiri.
Dia begitu hebat di hati aku kini.
Harriz…..Di mana kau sekarang…

Suatu hari, aku dapat berita yang
rasanya boleh meluruhkan jantung aku di
saat itu jua. Berita tentang orang yang
sangat-sangat aku ingin jumpa. Akhirnya
dapat juga aku mendengar berita tentang
Harriz tetapi malang kerana ketika itu
aku berada di luar negara menguruskan
perniagaan ayah yang ada masalah.

Aku menggantikan kerja-kerja Harriz
kerana Harriz bukan sahaja berpisah
dengan aku malah jawatannya sebagai CEO
di syarikat ayah juga turut dilepaskan.
Ibu yang menelefon aku ketika itu
mengkhabarkan berita tidak baik tentang
Harriz. Harriz kini berada di wad jagaan
rapi (ICU). Harriz sakit kuat sekarang.
Begitulah kata-kata terakhir yang sempat
aku dengar dari ibu kerana perbualan
kami terputus disebabkan cuaca buruk di
New Zealand yang ketika itu mengalami
musim sejuk.

Aku tidak dapat menghubungi ibu untuk
mengetahui berita selanjutnya tentang
Harriz. Aku menangis semahu-mahunya. Aku
ingin pulang segera tapi semua
penerbangan dibatalkan untuk beberapa
hari kerana cuaca buruk. Aku takut andai
aku akan kehilangan Harriz dan aku tak
sanggup untuk mendengar berita
kehilangan Harriz sekali lagi. Harriz…Ya
Tuhan, selamatkan Harriz.

Andai ada jodohku bersama Harriz,
pertemukanlah kami di bawah limpahan
rahmat kurniamu… Aku tidak dapat tidur
lena selepas mendengar berita Harriz.
Setiap waktu yang berlalu aku
terkenangkan Harriz. Bagaimana keadaan
Harriz sekarang? Jariku tidak putus asa
ligat mendail nombor telefon ibu, namun
tidak berjaya. Setiap saat degup jantung
ini dapat aku rasakan semakin laju.

Semuanya kerana mengenangkan keadaan
Harriz. Mungkin sekarang Harriz amat
memerlukan aku berada di sisinya tapi
aku tak boleh Harriz. Kita terpisah
dengan benua dan lautan. Aku jauh darimu
tapi hati ini terlalu dekat padamu.
Andai kau dapat mendengar suara hati
ini, ingin aku katakan bahawa di saat
ini aku sentiasa mendoakan agar dirimu
selamat dan dijauhkan dari segala
kesulitan hidup.

Akhirnya malam keramat itu telah merubah
takdir hidupku sekali lagi. Tidak dapat
aku lupakan, bagaimana sayunya suara ibu
menyampaikan berita yang paling takut
untuk aku dengar. Mungkin ini adalah
balasan Tuhan di atas keangkuhan aku
memainkan undang-undang ciptaan Tuhan
selama ini.

Harriz…Nama itu kini hanya tinggal
bayangan masa silam. Dia benar-benar
telah meninggalkan aku bersama
kenangannya. Harriz tidak lagi akan aku
temui sampai bila-bila…

"Maafkan ibu, Ain. Ibu tak dapat hubungi
Ain dua hari yang lalu. Harriz sudah
tiada lagi di dunia ini. Dia dah
tinggalkan kita semua buat
selama-lamanya. Maafkan ibu, ibu lambat
beritahu Ain. Kanser hatinya dah semakin
merebak dalam tubuh Harriz. Dia terlalu
rindukan Ain tapi dia tak mampu untuk
bertahan lama. Ibu benar-benar minta
maaf Ain….."

Kata-kata ibu tidak berupaya lagi untuk
aku dengar. Aku terasa berada di
awangan. Semuanya bagaikan halilintar
yang membelah bumi. Aku terduduk.

Air mata mengalir tanpa henti. Aku
menangis dan terus menangis tanpa henti.
Tidak sempat untuk aku sujud di kakinya,
memohon ampun dan maaf. Dosa aku terlalu
banyak pada Harriz.

"Maafkan Ain, Harriz. Ain bersalah pada
Harriz dan Ain tidak sempat untuk sujud
di kaki Harriz. Maafkan Ain, maafkan
Ain…" Aku menjerit sekuat hati tapi
siapalah yang mampu untuk menenangkan
aku di saat itu. Aku keseorangan. Ibu
dan ayah tiada di sisi. Hanya semangat
Harriz yang wujud dalam diri ini tapi
kini Harriz meninggalkan aku secara
tiba-tiba.

Aku hilang arah tuju. Dunia dapat aku
rasakan gelap. Harriz tidak pernah
menceritakan pada aku tentang
penyakitnya. Patutlah kata-kata Harriz
malam itu aku rasakan lain. Dia
benar-benar maksudkannya. Kalaulah aku
tahu begini jadinya tidak akan aku
bertindak bodoh untuk berpisah dengan
orang yang ikhlas mencintai aku. Akan
aku jaga Hariz sehingga dia mengucapkan
lafaz kematian di hadapan mata aku
sendiri. Tapi, itu semua telah terlambat
untuk dijadikan realiti dalam hidup aku.
Hariz meninggalkan aku di saat-saat
cinta ini telah berputik.

Kepulangan aku ke bumi Malaysia tidak
membawa apa-apa makna pada aku kerana
orang yang ingin sangat aku jumpa selama
ini sudah pergi. Hanya pusara yang
tinggal untuk aku lawati. Setitis demi
setitis air mata ini jatuh mengalir
tatkala aku sampai di pusara Harriz. Aku
dapat merasakan Harriz seakan berada di
sebelah aku melihat aku mengalirkan air
mata kerana meratapi kematiannya.

Harriz, jika dapat kau dengar luahan
hati ini, ingin sekali aku bermohon
ampun dan maaf padamu yang tidak pernah
sempat terucap di bibir ini biarpun
ketika kita bersama. Baru kini aku dapat
menilai erti cintamu yang mendalam
terhadap diri ini. Aku terlalu angkuh
dan keegoan ini telah memakan diri aku
sendiri.

Sepucuk surat yang terakhir kau tujukan
untukku baru kini dapatku baca. Meruntun
hati ini tatkala aku membaca bait-bait
puisi yang engkau karangi hanya
semata-mata untukku. Aku tahu aku
benar-benar bersalah !!!..

Ikhlasnya cintamu itu tidak setanding
dengan apa yang ada di dalam hati ini
untuk aku beri. Rendahnya martabat diri
ini jika kita dapat bersama. Selafaz doa
aku bacakan untukmu, begitu jua jutaan
kemaafan aku pohon padamu Harriz…

Sajak yang ditujukan khas buat diri ini
tidak puas aku membacanya. Sekali lagi
aku menatap agar ia dapat menenangkan
aku kerana tidak dapat melihat di
saat-saat pemergianmu yang tidak
dirancang tapi telah ditentukan Tuhan.

Sesungguhnya… syurga seorang suami
adalah ketika bersama isterinya dalam
susah dan senang…

Permata hati buat isteri yang disayangi

Nurul Ain Bt Hamdi…

Dunia saya sewaktu bersama awak
dirasakan amat luas…. Awak adalah
anugerah Tuhan yang tak ternilai buat
saya… Biarpun cinta ini tidak pernah
wujud dalam diri awak… Namun, harapan
itu tetap ada dalam impian saya Saya
sayang awak lebih dari segalanya Saya
mencintai awak dengan setulus hati
Tatkala lafaz nikah terucap di bibir ini
Memiliki awak adalah amanat yang harus
saya jaga sebagaimana Tuhan menciptakan
Adam untuk Hawa… Namun, pemergian saya
tak dirancang… Bila-bila masa sahaja
nyawa ini akan menghentikan nafasnya.
Biarpun saya tiada di sisi awak lagi
Saya harap awak tidak pernah lupa akan
diri ini yang sentiasa mencintai awak…

-HARRIZ BIN HASHIM

1 comment: