Friday, June 7, 2013
HATI DAN PERASAAN
Assalamualaikum
Alhamdulillah ala kulli hal, terasa tenang dan damai di hati selepas menunaikan solat, menghadap Allah Azza Wa Jalla , Subhanallah, maka benarlah firman Allah yang agung
“dan ketahuilah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram”
(Ar Ra'du : 28)
Teringat semula pesanan Imam Muda Asyraf,
"Jika kita sedang melakukan sesuatu pekerjaan, apabila masuk waktu solat, solatlah dulu, selepas solat sambunglah semula pekerjaan tersebut, jika kualiti pekerjaan kita masih lagi di tahap yang sama , check kualiti solat kita"
MasyaAllah, tersentap bukan?
Pedas.
Tapi kadang2 rasa pedas tu perlu untuk membuatkan makanan lebih sedap
Sebenarnya, sudah agak lama juga blog ni tak diupdate, mungkin disebabkan kesibukan diri terhadap urusan2 dunia, masya-Allah, Cuma pada kali ini, saya paksa juga diri saya untuk menulis sesuatu, sesuatu yang sudah lama bermain-main dibenak fikiran saya, mungkin pada pandangan pembaca-pembaca sekalian, ianya sesuatu yg lapuk/cliché/cerita basi atau apa-apa sahaja yang sama waktu dengannya, tetapi pada saya, ia sesuatu yang sangat penting, walaupun hal ini sudah kerap diperkatakan, namun ia tetap perlu diulang-ulang dan terus diulang agar kita tidak lupa.
Straight to the point, semua orang pernah mengalami suatu keadaan di mana hati dan perasaan kita akan terganggu, terkacau tersentuh dan sebagainya atau dalam erti kata lain , sedang dilamun cinta, walau betapa hebat dan dahsyatnya kita bermujahadah, namun kita tetap tidak dapat menafikan kewujudan perasaan tersebut, ia datang tanpa diundang, bukan atas kemahuan kita, sehingga kadangkala timbul satu persoalan dalam diri, “kenapa aku sering kali dibayangi perasaan seperti ini? Jawapannya mudah sekali, ianya disebabkan perasaan cinta, sayang dan rindu adalah fitrah yang dikurniakan oleh Allah kepada setiap manusia, Cuma yang menjadi perbezaannya adalah bagaimana kita mengawal perasaan tersebut, atau bagaimana kita menyalurkan perasaan tersebut, sama ada dengan cara yang diredhai Allah atau dengan cara yang bakal mengundang kemurkaan-Nya.
Sahabatku
Apabila kita membicarakan soal jodoh, perkahwinan, dan juga percintaan, kesemuanya perlu diselarikan dengan tujuan kita dijadikan oleh Allah S.W.T di atas muka bumi ini.
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di atas muka bumi, “ mereka berkata “Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu? Dia berfirman, “Sungguh aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui,”
(2 : 30)
“Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaku”
(51 : 56)
Dengan merenungi dan menginsafi kedua-dua ayat tersebut, kita seharusnya sudah memahami kenapa Allah S.W.T menciptakan kita di bumi ini. Yang pertama adalah untuk menjadi khalifah di atas muka bumi ini atau dalam erti kata lain menjalankan perintah Allah di atas muka bumi. Yang kedua adalah untuk mengabdikan diri hanya pada Allah Rabbul Jalil.
Sahabat-sahabat sekalian,
Apa sahaja yang kita lakukan didunia ini, study, berkahwin, berperang, hatta mati sekalipun, jangan sekali-kali kita lari dari tujuan kita di ciptakan. (Peringatan untuk diri ini juga yang sering lupa). Menangis.
Berbalik kepada topik utama, tidak dapat dinafikan sebagai seorang remaja ataupun pemuda saya juga tidak dapat lari dari perkara ini, pernah sekali hati kecil ini terusik dek seorang Muslimah, namun hati bingkas beristighfar, mengingatkan diri bahawa hidup dan mati hanya untuk ilahi, memang, dalam menempuh urusan dunia, kita tidak akan pernah boleh untuk mengelak daripada berurusan dgn kaum wanita, terlalu banyak urusan-urusan dunia yang memerlukan penglibatan kedua-dua pihak, discussion, study group, dan sebagainya, dengan sebab itulah Islam mengharuskan percampuran antara lelaki dan perempuan atas dasar muamalah, tetapi Islam juga menyediakan beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi untuk memelihara maruah kita dan juga untuk memastikan urusan muamalah yang dilakukan tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan syariat.
Teringat semula kata-kata seorang ikhwah (Ibnu CR )
“Kadang-kadang syaitan ni bijak, dia akan memilih untuk menyerang fitrah manusia”
Masya-Allah, kadang-kadang kita sendiri pun tidak menyedarinya, kita perasan apa yang kita lakukan itu mengundang redha Allah, tetapi hakikatnya,hanya mengundang murka-Nya..
Sememangnya fitrah manusia mendambakan pasangan, akan tetapi, penting untuk kita memahami, perkahwinan yang dianjurkan oleh Islam bukan semata-mata untuk memenuhi tuntutan nafsu, akan tetapi, mempunyai tujuan yang lebih murni daripada itu, iaitu mendambakan syurga ilahi, Subhanallah, indahnya Islam.
Sahabatku,
Dalam kita berusaha untuk menjaga hati, bermujahadah menentang nafsu, selalulah ingatkan diri bahawa dalam menuju ke arah pembinaan Baitul Muslim, bukan individu yang kita kejari, bukan Muslimah itu yang kita dambakan untuk menjadi isteri, bukan Muslimin itu yang kita harapkan untuk menjadi suami, bukan hanya mendambakan seorang individu, tetapi apa yang kita dapat daripada perkahwinan itu, sejauh mana perkahwinan itu dijadikan alat untuk kita mencapai matlamat menggapai syurga Allah yang abadi.
:)
Sabda Rasulullah S.A.W
Dinikahi wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka pilihlah dalam hal agamanya, nescaya beruntunglah keduanya.
Akhir kata, jagalah hati, tetapkan iman dalam diri, takwa pada ilahi, insya-Allah terjaga diri.
Wallahua’lam, wassalam J
BUAT HATI YANG SEDANG BERPUTUS ASA
Bumi mana yang tak pernah di timpa hujan? Laut mana yang tidak ada pasang surutnya? Langit mana yang tidak pernah gelap? Lautan mana yang tidak pernah bergelora? Setiap yang berlaku itu adalah satu sunnatullah, sesuatu yang telah ditetapkan oleh Tuhan pemilik bumi ini.
Setiap orang punyai titik lemah masing-masing. Setiap orang ada jalan berlumpur yang mesti dilalui. Setiap orang ada lautan bergelora yang mesti diredah. Setiap orang ada ujian mereka yang tersendiri.
Ada orang diuji dengan keputusan peperiksaan yang teruk. Ada orang diuji dengan kehilangan orang yang disayangi dan tempat bergantung. Ada orang diuji dengan kehilangan harta benda. Ada yang diuji menerusi penderaan emosi dan mental yang berterusan. Ada juga yang diuji dengan penderaan fizikal yang menyakitkan.
Penderitaan, kesedihan, ujian dan dugaan ini kadang-kadang menggoncang iman kita. Kita merasakan kitalah manusia yang paling malang sekali di dunia ini. Kita merasakan kitalah yang paling teruk diuji. Hatta, sampai suatu tahap kita seakan-akan meragui keadilan Tuhan yang Maha Adil.
Tetapi, pernahkah kita terfikir bahawa hidup kita ini memang untuk diuji?
Di dalam surat chenta-Nya yang agung, Allah telah menyatakan,
Yang menciptakan mati dan hidup, untuk MENGUJI kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun.
(Al Mulk : 2)
Yakinlah ujian adalah satu manifestasi chenta dan kasih sayang Tuhan terhadap hamba-hamba-Nya. Ketika Allah merindukan hamba-Nya, Dia mengirimkan sebuah hadiah istimewa melalui malaikat Jibril di mana isinya berupakan ujian. Mana mungkin Tuhan itu zalim andai ujian yang ditimpakan bertujuan menghapuskan dosa-dosa hamba-hamba-Nya. Ditimpakan-Nya ujian dan dugaan ke atas hamba-hamba-Nya sebagai peringatan, renungan dan medan refleksi, untuk kita kembali ke kandang ibadah, untuk kita kembali melaksanakan tugas khalifah.
Di dalam sebuah Hadis Qudsi ada disebutkan,
Pergilah kepada hamba-Ku, lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya.
(Hadis Riwayat Thabrani dan Abu Umamah)
Begitu baik dan kasihnya Allah pada kita, namun, kita pula selalu tersalah sangka pada Dia.
Ujian akan menjadi sebuah tarbiyyah andai kita selesa memandangya sebagai sebuah tarbiyyah. Ujian akan menjadi sebuah rahmat andai kita sudi menerimanya sebagai sebuah rahmat. Dan ujian itu adalah cinta andai kita cinta kepada sang permberi ujian.
Renungilah, hayatilah hadis qudsi ini,
Allah S.W.T berfirman, Aku adalah sepertimana sangkaan Hamba-Ku terhadap-Ku dan Aku bersamanya ketika dia berzikir mengingati-Ku. Maka jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku, dan jika dia mengingati-Ku dalam jemaah manusia, Aku akan mengingatinya dalam dalam jemaah yang lebih baik dari mereka, dan jika dia mendekati kepada-Ku sejengkal, Aku akan mendekati kepadanya sehasta, dan jika dia mendekati kepada-Ku sehasta, Aku akan mendekati kepadanya sedepa, dan jika dia mendekati kepada-Ku sambil berjalan, Aku akan mendekati kepadanya sambil berlari
(Riwayat Bukhari)
Akhi,
Sedang Muhammad manusia pilihan itu turut diuji. Apatah lagi kita manusia biasa. Manusia yang penuh dosa dan noda. Dan pabila Allah menguji kita, untuk menawarkan keampunan yang tidak berbelah bagi andai kita redha dan sabar terhadap ujian itu, ironinya kita menyombongkan diri. Medan muhasabah seakan-akan terlalu jauh buat kita. Kita seolah-olah kemarau linangan air mata keinsafan. Entah mengapa hati kita.
Sabda Ar Rasul S.A.W yang mulia,
Tiadalah seorang mukmin yang ditimpa musibah tertusuk duri atau lebih teruk daripada itu melainkan dengannya Allah akan menghapuskan sebahagian daripada dosa-dosanya
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Akhi,
Semalam telah menjadi sejarah. Tetapi hari esok adalah harapan. Selalu ada harapan untuk mereka yang berusaha. Selalu ada impian untuk mereka yang berdoa. Kita tidak pernah tahu apa yang dirancang untuk kita oleh sebaik-baik Perancang. Tetapi pastinya apa yang telah ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik buat diri kita. Walau kita tidak menyukainya. Meski hati membencinya.
..boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.
(Al Baqarah : 216)
Hidup ini hanya sebuah perjalanan untuk pulang ke kampung halaman. Tetapi, ramai manusia yang tersesat dalam perjalanan. Kerana lupa dunia ini hanya pinjaman. Sedang akhirat itu yang berkekalan.
Senyum
Subscribe to:
Posts (Atom)