Jom Baca Quran

Friday, June 7, 2013

BUAT HATI YANG SEDANG BERPUTUS ASA

Bumi mana yang tak pernah di timpa hujan? Laut mana yang tidak ada pasang surutnya? Langit mana yang tidak pernah gelap? Lautan mana yang tidak pernah bergelora? Setiap yang berlaku itu adalah satu sunnatullah, sesuatu yang telah ditetapkan oleh Tuhan pemilik bumi ini. Setiap orang punyai titik lemah masing-masing. Setiap orang ada jalan berlumpur yang mesti dilalui. Setiap orang ada lautan bergelora yang mesti diredah. Setiap orang ada ujian mereka yang tersendiri. Ada orang diuji dengan keputusan peperiksaan yang teruk. Ada orang diuji dengan kehilangan orang yang disayangi dan tempat bergantung. Ada orang diuji dengan kehilangan harta benda. Ada yang diuji menerusi penderaan emosi dan mental yang berterusan. Ada juga yang diuji dengan penderaan fizikal yang menyakitkan. Penderitaan, kesedihan, ujian dan dugaan ini kadang-kadang menggoncang iman kita. Kita merasakan kitalah manusia yang paling malang sekali di dunia ini. Kita merasakan kitalah yang paling teruk diuji. Hatta, sampai suatu tahap kita seakan-akan meragui keadilan Tuhan yang Maha Adil. Tetapi, pernahkah kita terfikir bahawa hidup kita ini memang untuk diuji? Di dalam surat chenta-Nya yang agung, Allah telah menyatakan, Yang menciptakan mati dan hidup, untuk MENGUJI kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa, Maha Pengampun. (Al Mulk : 2) Yakinlah ujian adalah satu manifestasi chenta dan kasih sayang Tuhan terhadap hamba-hamba-Nya. Ketika Allah merindukan hamba-Nya, Dia mengirimkan sebuah hadiah istimewa melalui malaikat Jibril di mana isinya berupakan ujian. Mana mungkin Tuhan itu zalim andai ujian yang ditimpakan bertujuan menghapuskan dosa-dosa hamba-hamba-Nya. Ditimpakan-Nya ujian dan dugaan ke atas hamba-hamba-Nya sebagai peringatan, renungan dan medan refleksi, untuk kita kembali ke kandang ibadah, untuk kita kembali melaksanakan tugas khalifah. Di dalam sebuah Hadis Qudsi ada disebutkan, Pergilah kepada hamba-Ku, lalu timpakanlah berbagai ujian padanya kerana Aku ingin mendengar rintihannya. (Hadis Riwayat Thabrani dan Abu Umamah) Begitu baik dan kasihnya Allah pada kita, namun, kita pula selalu tersalah sangka pada Dia. Ujian akan menjadi sebuah tarbiyyah andai kita selesa memandangya sebagai sebuah tarbiyyah. Ujian akan menjadi sebuah rahmat andai kita sudi menerimanya sebagai sebuah rahmat. Dan ujian itu adalah cinta andai kita cinta kepada sang permberi ujian. Renungilah, hayatilah hadis qudsi ini, Allah S.W.T berfirman, Aku adalah sepertimana sangkaan Hamba-Ku terhadap-Ku dan Aku bersamanya ketika dia berzikir mengingati-Ku. Maka jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku, dan jika dia mengingati-Ku dalam jemaah manusia, Aku akan mengingatinya dalam dalam jemaah yang lebih baik dari mereka, dan jika dia mendekati kepada-Ku sejengkal, Aku akan mendekati kepadanya sehasta, dan jika dia mendekati kepada-Ku sehasta, Aku akan mendekati kepadanya sedepa, dan jika dia mendekati kepada-Ku sambil berjalan, Aku akan mendekati kepadanya sambil berlari (Riwayat Bukhari) Akhi, Sedang Muhammad manusia pilihan itu turut diuji. Apatah lagi kita manusia biasa. Manusia yang penuh dosa dan noda. Dan pabila Allah menguji kita, untuk menawarkan keampunan yang tidak berbelah bagi andai kita redha dan sabar terhadap ujian itu, ironinya kita menyombongkan diri. Medan muhasabah seakan-akan terlalu jauh buat kita. Kita seolah-olah kemarau linangan air mata keinsafan. Entah mengapa hati kita. Sabda Ar Rasul S.A.W yang mulia, Tiadalah seorang mukmin yang ditimpa musibah tertusuk duri atau lebih teruk daripada itu melainkan dengannya Allah akan menghapuskan sebahagian daripada dosa-dosanya (Riwayat Bukhari dan Muslim) Akhi, Semalam telah menjadi sejarah. Tetapi hari esok adalah harapan. Selalu ada harapan untuk mereka yang berusaha. Selalu ada impian untuk mereka yang berdoa. Kita tidak pernah tahu apa yang dirancang untuk kita oleh sebaik-baik Perancang. Tetapi pastinya apa yang telah ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik buat diri kita. Walau kita tidak menyukainya. Meski hati membencinya. ..boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (Al Baqarah : 216) Hidup ini hanya sebuah perjalanan untuk pulang ke kampung halaman. Tetapi, ramai manusia yang tersesat dalam perjalanan. Kerana lupa dunia ini hanya pinjaman. Sedang akhirat itu yang berkekalan. Senyum

No comments:

Post a Comment